Kategori terpakai tapi harga sama macam barang baharu

Kategori terpakai tapi harga sama macam barang baharu

SEJAK kebelakangan ini, Merak Jalanan banyak habiskan masa melayari laman menjual barangan terpakai di media sosial, khususnya produk elektrik dan elektronik serta perabot.

Tapi, Merak Jalanan pelik kerana kebanyakan barang yang dijual tidak ditawarkan pada harga barangan terpakai. Kebanyakannnya ditawarkan pada harga macam baharu. Bezanya hanya RM20 atau RM30 sahaja.

Mereka yang menjualnya itu biasanya akan menggunakan perkataan barang dalam keadaan baik, jarang pakai atau beli tapi tidak pernah guna untuk mempertahankan harga yang ditawarkan walhal barang tersebut sebenarnya sudah lama.

Tiba-tiba Merak Jalanan terfikir, adakah mereka yang menjual itu tahu setiap barang yang ada di dunia ini mempunyai susut nilainya? Harganya akan jatuh mengikut tahun, lebih-lebih lagi produk dalam kategori yang Merak jalanan nyatakan tadi.

Merak Jalanan tidak kisah kalau barang dijual itu berada dalam kategori antik, berjenama, vintaj bernilai dan tinggi permintaannya kerana model sedia ada ditamatkan pengeluarannya.

Tapi, kebanyakannya adalah barang biasa yang masih boleh didapati di pasaran dan harganya dilihat semakin menyusut bulan demi bulan akibat pengeluaran model baharu yang pesat termasuk daripada pesaing jenama pengeluar.

Melihatkan situasi berkenaan, terbantut Merak Jalanan nak membeli. Maklum sahajalah, apabila mencari barang terpakai, sudah tentu kita mahukan harga yang murah dan berbaloi dengan bentuk rupa barangnya.

Kalau barang terpakai pun harganya sudah macam barang baharu, lebih baik Merak Jalanan beli yang baharu sahaja.

Bagaimanapun, Merak Jalanan tidak nafikan. Bukan semua yang menjual barang terpakai menjualnya pada harga yang tinggi. Masih ada lagi mereka yang berfikiran waras menjualnya pada harga sepatutnya mengikut susut nilai.

Source

Sumber asal

https://www.sinarharian.com.my/article/97562/SUARA-SINAR/Pojok/Kategori-terpakai-tapi-harga-sama-macam-barang-baharu

Leave a Reply

Close Menu
WP2Social Auto Publish Powered By : XYZScripts.com